KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi meningkat semula kemudiannya, disokong oleh belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih dalam persekitaran sentimen bercampur-campur di pasaran serantau, kata peniaga.
Pada 9.16 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.36 mata kepada 1,393.82 daripada 1,391.46 pada Selasa.
Indeks utama dibuka rendah 1.19 mata kepada 1,390.27.
Suasana pasaran turut positif berikutan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 194 berbanding 137 manakala 257 kaunter tidak berubah, 1,670 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 263.29 juta unit bernilai RM114.54 juta.
Melihat ke hadapan, Malacca Securities berkata ia menjangka indeks utama akan mencecah paras psikologi 1,400 berikutan sentimen yang kekal menyokong.
“Saham berharga rendah turut mendapat manfaat daripada belian secara bergilir-gilir manakala aktiviti dagangan semakin rancak.
“Walaupun pelabur menjangka data inflasi AS yang rendah, ini menunjukkan bahawa kitaran pengukuhan monetari dijangka menghampiri kemuncaknya dan memberi prospek yang baik kepada pasaran ekuiti.
“Sementara itu, pengumuman pendapatan korporat AS akan menjadi tumpuan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan CIMB, masing-masing tidak berubah pada RM8.74, RM3.87 dan RM5.21, Tenaga Nasional merosot 1.0 sen kepada RM9.04 dan IHH Healthcare berkurangan 3.0 sen kepada RM5.85.
Bagi saham aktif, Sarawak Consolidated menambah 1.0 sen kepada 49.5 sen, EP Manufacturing naik 2.0 sen kepada RM1.00 manakala RGB International dan Tanco, masing-masing tidak berubah pada 34 sen dan 52.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 17.32 mata kepada 10,273.87, Indeks FBMT 100 meningkat 16.46 mata kepada 9,965.36, Indeks FBM ACE merosot 10.27 mata kepada 5,209.226, Indeks FBM 70 menambah 20.60 mata kepada 13,544.43 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 16.41 mata kepada 10,560.77.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 28.88 mata kepada 15,495.76, Indeks Perladangan meningkat 10.79 mata kepada 6,912.22 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.66 mata kepada 159.71 manakala Indeks Tenaga naik 2.25 mata kepada 804.47.
— BERNAMA

