KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) — Telekom Malaysia Bhd (TM) melalui anak syarikat milik penuhnya, GITN Sdn Bhd (GITN) menandatangani perjanjian konsesi MyGov*Net 2.0 dengan kerajaan bernilai RM4.9 bilion termasuk enam peratus cukai jualan dan perkhidmatan.
TM berkata skop kerja perkhidmatan MyGov*Net 2.0 merangkumi penyediaan rangkaian telekomunikasi bersepadu yang terjamin untuk kerajaan, menghubungkan lebih 10,000 premis kerajaan di Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di luar negara bagi tempoh 10 tahun sehingga 31 Dis, 2032.
“Rangkaian kerajaan yang terjamin dan berdedikasi ini berintegrasi dengan intranet, internet, rangkaian kampus kerajaan dan pusat data sektor awam,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Tambahnya, MyGov*Net 2.0 akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Dis, 2023 dan sepanjang tempoh konsesi berlangsung.
— BERNAMA




