KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Sapura Energy Bhd berjaya meraih sebanyak 10 kontrak bernilai RM1.4 bilion di serata rantau Asia Pasifik dan Atlantik bagi tempoh Disember 2022 sehingga Mei 2023.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata kontrak tersebut telah diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C), penggerudian serta operasi dan penyelenggaraan (O&M).
“Segmen perniagaan E&C misalnya meraih kontrak bernilai RM979 juta manakala penggerudian RM352 juta dan O&M RM34 juta dengan gabungan secara keseluruhannya kira-kira RM1.4 bilion.
“Lebih 70 peratus daripada nilai gabungan kontrak itu membabitkan projek-projek di luar Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Anuar Taib berkata aset-aset turut digerakkan ke rantau baharu dalam usaha mendapatkan pelanggan yang berpotensi selain mengatasi halangan akibat kekangan kewangan.
“Kami juga berterima kasih di atas jalinan perkongsian yang diwujudkan dengan pelanggan baharu dan sedia ada yang terus mendapatkan penyelesaian kami dalam usaha menyiapkan projek masing-masing,” katanya.
Sapura Energy juga menyifatkan peralihan strategi telah membuahkan hasil awal bagi tahun kewangan 2023 apabila kumpulan berupaya pulih daripada kerugian operasi sebanyak RM2.2 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya dengan mencatat keuntungan operasi sebanyak RM751 juta walaupun dalam persekitaran cabaran modal kerja serta makroekonomi yang terhad.
Malah, berteraskan momentum positif yang dapat dicapai pada 2022, kumpulan itu berazam untuk meneruskan pemulihan terbabit dengan meninjau peluang di Hemisfera Timur dan Barat sambil bertindak memaksimumkan aset dan keupayaannya.
— BERNAMA




