KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) — Sapura Energy Bhd berkata Mahkamah Tinggi Malaya telah melanjutkan Perintah Sekatan dan Pertemuan selama sembilan bulan dari 11 Jun, 2023 hingga 10 Mac, 2024 kepada syarikat itu dan 22 anak syarikat milik penuhnya terhadap cadangan penstrukturan semula hutang.
Perintah tersebut, yang pada mulanya telah dikeluarkan oleh Mahkamah pada 8 Mac, 2023 menurut Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat, akan tamat tempohnya pada 11 Jun, 2023.
Ia berkata Perintah itu membolehkan setiap syarikat memanggil pemiutangnya untuk bermesyuarat bagi mempertimbangkan dan meluluskan cadangan skim pengaturan dan kompromi sebagai sebahagian daripada rancangan penstrukturan semula hutang bagi seluruh kumpulan syarikat tersebut.
Perintah Sekatan itu juga akan membantu syarikat yang terlibat dengan pemiutang tanpa diganggu oleh ancaman litigasi yang boleh menjejaskan operasi mereka, kata penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ia menambah lanjutan itu diperlukan untuk syarikat memuktamadkan skim yang dicadangkan dengan pembiayanya dan pemiutang lain, berikutan kemajuan yang ketara dalam rundingan untuk menyelesaikan hutang tidak mampan dan hutang tertunggak mereka.
Sebaik sahaja skim yang dicadangkan itu dilaksanakan, Sapura Energy dan anak syarikatnya akan berusaha ke arah kemajuan seterusnya, iaitu mesyuarat yang diarahkan oleh mahkamah, yang dijangka diadakan pada penghujung Oktober 2023, jika tiada berlakunya sebarang keadaan diluar jangka.
“Walaupun kami mengakui proses rundingan yang panjang kerana ia rumit dan saiz penstrukturan semula ini, namun kami cukup yakin bahawa kami kini menghampiri beberapa kemajuan terakhir dalam perjalanan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Datuk Mohd Anuar Taib.
“Komitmen kami masih kekal – kami berazam untuk melindungi nilai semua pihak berkepentingan kami dalam ekosistem minyak dan gas,” tambahnya.
Skim penstrukturan semula Sapura Energy yang dicadangkan akan merangkumi potensi pelaburan kewangan daripada wira penyelamat berjumlah kira-kira RM1.8 bilion.
Syarikat itu telah melantik MIDF Amanah Investment Bank sebagai penasihat utama untuk membantu merangka pelan regularisasi yang akan dikemukakan kepada Bursa Malaysia dalam usahanya untuk keluar daripada status PN17.
Bagi pihak Sapura Energy, MIDF Amanah telah meminta kelulusan daripada Bursa Malaysia untuk melanjutkan masa bagi mengemukakan cadangan pelan regularisasi.
Sapura Energy berkata prestasi kewangannya telah menunjukkan kemajuan yang ketara, pulih daripada kerugian operasi sebanyak RM2.2 bilion pada tahun kewangan sebelumnya kepada keuntungan operasi sebanyak RM751 juta pada tahun kewangan 2023.
Syarikat itu berazam untuk meneruskan pemulihan dan terus meneroka peluang di kawasan yang paling berdaya saing untuk kumpulan iaitu di Hemisfera Timur dan Barat.
— BERNAMA




