KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2023, meningkat kepada RM50.06 juta daripada RM43.18 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, hasil meningkat kepada RM643.45 juta daripada RM433.23 juta pada tempoh yang sama tahun lepas dipacu terutamanya daripada jualan hartanah tinggi dan perolehan berterusan daripada kemajuan pembinaan yang sedang dibangunkan.
“Hasil daripada segmen pembuatan meningkat 6.5 peratus kepada RM114.7 juta pada suku tersebut berbanding RM107.6 juta pada tempoh yang sama tahun lepas berikutan peningkatan jualan daripada palet plastik, bahagian-bahagian automotif dan sarung tangan.
“Perolehan bagi pegangan pelaburan dan segmen lain terdiri daripada terutamanya pendapatan faedah daripada deposit dana, hasil daripada dagangan bahan binaan dan operasi hotel,” katanya.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata jualan belum dimasuk kiranya yang berjumlah RM2.26 bilion akan menyediakan perolehan pada masa depan dan syarikat itu akan menumpukan kepada jualan dan pelaksanaan projek bagi memastikan momentum hasil dan pendapatan serta mudah tunai dan aliran tunai yang padu dan kukuh.
Memandangkan kemajuan ketara pembinaan dan penyiapan hartanah bagi 2023, kumpulan itu menjangka mencatatkan pertumbuhan dan prestasi lebih kukuh pada Tahun Kewangan 2023 dan optimis dengan perniagaan pembangunan hartanah jangka masa panjangnya.
Tiada dividen dicadangkan bagi Suku Pertama 2023. Dividen pertama dan akhir pada 3 sen sesaham biasa bagi Tahun Kewangan 2022 akan dibayar pada 21 Sept, 2023, jika ia diluluskan pada mesyuarat agung tahunan pada 22 Jun, 2023.
— BERNAMA




