KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) bagi suku kewangan pertama berakhir 31 Mac, 2023 merosot kepada RM532 juta daripada RM2.07 bilion pada suku yang sama tahun lepas.
PCG berkata pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasannya (EBITDA) lebih rendah sebanyak RM1.3 bilion atau 55 peratus pada RM1.1 bilion kebanyakannya disebabkan oleh tebaran produk lebih rendah dan kos tenaga dan utiliti lebih tinggi.
Bagaimanapun, hasil meningkat 14 peratus kepada RM7.56 bilion daripada RM6.63 bilion sebelumnya, berikutan kemasukan sumbangan hasil daripada anak syarikat yang baru diambil alih dan volum jualan lebih tinggi tetapi sebahagiannya diimbangi oleh harga produk lebih rendah.
PCG berkata hasil untuk segmen olefin dan derivatif lebih tinggi sebanyak RM650 juta atau 24 peratus pada RM3.4 bilion terutamanya disebabkan oleh volum jualan lebih tinggi dan kelemahan ringgit berbanding dolar US.
Hasil segmen khususnya meningkat sebanyak RM1.2 bilion kepada RM1.7 bilion, kebanyakannya susulan kemasukan anak syarikat yang baru diambil alih.
Namun, hasil segmen baja dan metanol turun sebanyak RM897 juta atau 27 peratus kepada RM2.4 bilion kebanyakannya disebabkan oleh harga produk yang lebih rendah tetapi sebahagiannya diimbangi oleh kelemahan ringgit berbanding dolar US.
Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata walaupun syarikat itu melihat beberapa pergerakan positif di beberapa wilayah terpilih pada suku pertama, keseluruhan sektor kimia kekal berhati-hati memandangkan harga tenaga yang masih tidak menentu.
“Terdapat sedikit peningkatan dalam permintaan daripada China pasca Tahun Baharu Cina untuk bahan kimia terpilih tetapi kami masih belum melihat pemulihan yang bermakna.
“Sebaliknya, kos operasi telah meningkat disebabkan kesan inflasi ke atas gas dan bahan api, ia meningkatkan kos tenaga dan utiliti, mengecilkan lagi tebaran produk dan menambah tekanan pada margin,” katanya.
Kumpulan itu terus berhati-hati dengan prospek untuk tahun 2023 susulan kebimbangan terhadap sektor perbankan Amerika Syariakt dan potensi kesannya terhadap ekonomi global, perang Rusia-Ukraine yang berpanjangan dan pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan di China, katanya.
— BERNAMA




