KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Axiata Group Bhd kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, dengan meraih keuntungan bersih RM73.85 juta berbanding kerugian bersih RM42.97 juta dalam tempoh yang sama setahun lepas.
Hasil bagi tempoh itu melonjak 7.9 peratus kepada RM5.38 bilion daripada RM4.98 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
“Hasil operasi kumpulan meningkat kepada RM5.38 bilion disumbangkan terutamanya oleh operasi mudah alih di Indonesia dan Kemboja, perniagaan infrastruktur dan segmen hasil baharu daripada jalur lebar tetap di Indonesia,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Berikutan penyempurnaan penggabungan antara Celcom dan Digi pada 30 Nov 2022, keputusan kewangan CelcomDigi Bhd direkodkan di bawah operasi berterusan dari 1 Dis 2022 dan seterusnya, manakala keputusan kewangan Celcom sebelum 1 Dis 2022 dibentangkan sebagai operasi yang dihentikan.
— BERNAMA




