KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih Batu Kawan Bhd merosot kepada RM120.05 juta pada suku kedua berakhir 31 Mac 2023 daripada RM316.54 juta setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang lebih rendah daripada segmen pembuatan dan perladangan.
Kumpulan itu berkata keuntungan perladangannya turun 33.3 peratus kepada RM291.68 juta, terutamanya disebabkan oleh harga jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit (PK) yang lebih rendah, kos pengeluaran MSM yang lebih tinggi, serta kerugian nilai saksama RM15. 76 juta pada penilaian buah tandan segar yang belum dituai.
Keuntungan segmen pembuatan merosot 49.8 peratus kepada RM219.59 juta berbanding tahun sebelumnya manakala hasil turun 3.8 peratus kepada RM5.31 bilion, terutamanya disebabkan oleh sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada bahagian oleokimia, kilang penapisan dan operasi penghancuran isirong.
Hasil bagi suku tersebut juga turun kepada RM6.31 bilion daripada RM6.65 bilion tahun ke tahun.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu berkata keputusan segmen perladangannya berkemungkinan menurun berbanding tahun lepas memandangkan kelemahan harga MSM disebabkan kebimbangan ekonomi di negara pengguna utama.
“Dengan pemulihan semula bekalan (buruh) di Semenanjung Malaysia, tumpuan akan diberikan kepada pengurusan ladang dan inisiatif peningkatan hasil,” katanya.
Batu Kawan berkata segmen pembuatan kumpulan itu akan terus berdepan cabaran berikutan kelemahan dalam permintaan untuk kedua-dua oleokimia dan kimia industri.
“Secara keseluruhannya, kumpulan menjangkakan prestasi kewangannya bagi separuh kedua tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2023, menjadi lebih lemah berbanding tahun kewangan sebelumnya,” katanya.
— BERNAMA
TAG: Batu Kawan, suku kedua, MSM, pembuatan, perladangan




