KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) — Keuntungan bersih MR DIY Group (M) Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM127.77 juta daripada RM100.50 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh hasil dan keuntungan kasar yang lebih tinggi.
Hasil meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada RM1.04 bilion daripada RM905.16 juta, terutamanya didorong oleh peningkatan bilangan kedai, yang tumbuh 18.8 peratus tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada 1,125.
“Ini membawa kepada peningkatan dalam jumlah urus niaga, yang meningkat 18.1 peratus tahun ke tahun kepada 38.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023,” kata peruncit peralatan pembaikan rumah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia juga berkata hasil yang lebih tinggi serta penurunan dalam kos pengangkutan, berikutan permintaan global untuk pengangkutan menurun, membawa kepada peningkatan 30.6 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan kasar kepada RM463.3 juta.
Kumpulan itu berkata ia kekal optimistik tentang prospek masa hadapannya walaupun tekanan inflasi dan kadar faedah meningkat, yang terus memberi kesan kepada kos sara hidup dan pendapatan boleh guna isi rumah.
“Kumpulan kekal komited untuk mengurangkan tekanan inflasi dan membantu rakyat Malaysia berjimat dengan menyediakan barangan keperluan harian yang berpatutan dan bernilai untuk wang.
“Kami akan terus mencipta nilai yang mampan untuk semua pihak berkepentingan dengan mengoptimumkan kos dan inovasi kepada strategi dagangan kami, untuk memberi kesan positif kepada komuniti tempat kami beroperasi,” katanya.
Kumpulan itu juga menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 180 kedai baharu merentas ketiga-tiga jenama — MR DIY, MR TOY dan MR DOLLAR — pada tahun 2023, yang akan menjadikan jumlah rangkaian kedai kepada lebih 1,200 kedai di seluruh negara.
Ia menambah bahawa ini bagi menepati janji untuk menawarkan pelanggan sebanyak 20,000 unit penyimpanan stok produk di lokasi yang boleh diakses dengan mudah di seluruh negara.
— BERNAMA




