KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Petronas Carigali Sdn Bhd menganugerahkan kontrak bernilai US$128 juta (RM569.6 juta) kepada unit Velesto Energy Bhd, Velesto Drilling Sdn Bhd (VED) untuk menyediakan perkhidmatan tiga pelantar penggerudian jack-up.
Velesto berkata kontrak itu akan bermula pada suku ketiga 2023 dan berterusan sehingga selesai operasi masing-masing.
“Penyediaan perkhidmatan itu dijangka menyumbang kepada pendapatan dan aset bersih Velesto Energy semasa tempoh kontrak bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 dan 2024,” kata penyedia minyak dan gas itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
VED terlibat terutamanya dalam perniagaan dan operasi penggerudian luar pantai dan perkhidmatan kejuruteraan bagi eksplorasi minyak dan gas, pembangunan dan pengeluaran di Malaysia dan luar negara, manakala Petronas Carigali, anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd, merupakan sebuah syarikat eksplorasi dan pengeluaran utama.
— BERNAMA




