KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Hartalega Holdings Bhd akan menutup operasi kilang pengeluaran Bestari Jayanya yang melibatkan penutupan empat kilang pengeluaran sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semula operasinya.
Pengeluar sarung tangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia kemudiannya akan menggabungkan operasinya di kompleks pembuatan sarung tangan (NGC) bersepadunya di Sepang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Kuan Mun Leong berkata langkah itu merupakan satu ‘keputusan yang sukar namun perlu’ untuk memastikan Hartalega dapat mengharungi landskap pasaran yang sukar. Operasi penutupan kilang itu dijangka selesai pada akhir 2023.
“Memandangkan situasi pasaran yang mencabar, kami telah menyediakan pelan strategik lima tahun untuk mengukuhkan daya tahan perniagaan dan kemampanan jangka panjang.
“Berbanding barisan pengeluaran canggih di kilang kami di NGC, kemudahan Bestari Jaya kami kurang cekap dan terhad kerana menggunakan teknologi lama yang menyebabkan kos tenaga dan buruh yang tinggi, selain kos penyelenggaraan yang tinggi disebabkan faktor usia kemudahan itu,” katanya.
Kuan berkata semasa tempoh penutupan kilang itu, kumpulan tersebut komited untuk membantu pekerja yang terjejas melalui langkah-langkah termasuk peluang penempatan semula pekerjaan, tawaran pakej pemberhentian yang kompetitif, sokongan penempatan luar serta bantuan sumber manusia dan kaunseling.
Beliau berkata apabila operasi penutupan itu selesai kelak, kumpulan tersebut menjangkakan pengurangan dalam kos operasi dan susut nilainya, yang akan memberi manfaat secara langsung kepada keuntungannya.
Langkah penutupan itu akan membantu mengukuhkan pengoptimuman kos dan kecekapan operasi, memanfaatkan kelajuan barisan pengeluaran dan kecanggihan teknologi di kilang NGC kami, katanya.
“Kemudahan NGC kami juga mempunyai kapasiti untuk pengembangan pada masa depan ketika kami terus berkembang secara strategik sejajar dengan dinamik penawaran dan permintaan pasaran semasa,” katanya.
Susulan langkah penutupan operasi itu, Hartalega menjangkakan kerugian rosot nilai sebanyak RM347 juta bagi tahun fiskal 2023, dan peruntukan tambahan bagi kos pemberhentian kerja dan perbelanjaan obligasi kontrak berjumlah kira-kira RM70 juta bagi tahun kewangan 2024.
— BERNAMA
TAG : Hartalega, NGC, Bestari Jaya, penutupan operasi, kilang pengeluaran, Sepang




