KOTA KINABALU, 1 Mei (Bernama) — Suria Capital Holdings Bhd (SuriaGroup), yang mengendalikan pelabuhan dan terminal minyak utama di Sabah, menjangkakan 2023 akan mencabar disebabkan faktor luaran global tetapi kekal optimistik terhadap prospeknya di tengah-tengah perkembangan positif dalam perniagaannya.
Dalam satu kenyataan, ia berkata lanjutan tempoh konsesi untuk anak syarikat milik penuh Sabah Ports Sdn Bhd sehingga tahun 2064 akan membolehkan kumpulan itu meneruskan program pembesaran dan naik taraf pelabuhannya untuk berkhidmat kepada ekonomi negeri Sabah.
SuriaGroup juga menyatakan bahawa Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) dekat sini, yang kini mempunyai kapasiti 500,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), dijangka mengendalikan sehingga sejuta TEU berikutan kerja-kerja pembesaran siap pada 2025.
“Serentak dengan itu, kerja-kerja pembinaan jeti tambahan di Terminal Minyak Teluk Sepanggar sedang berjalan dengan pantas bagi memenuhi sasaran permulaan operasi pada suku ketiga 2023.
“Terminal Kargo Konvensional Teluk Sepanggar, sebagai komponen terakhir SBCP, akan dibina pada 2023 dan dijangka siap pada 2027, untuk menampung pengendalian kargo am dan penyediaan perkhidmatan sampingan untuk sektor minyak dan gas,” katanya.
Menurut laporan tahunan terkininya, operasi pelabuhan menyumbang 78.5 peratus daripada jumlah hasil kumpulan itu, yang turut terlibat dalam aktiviti daripada pembangunan hartanah hingga pembinaan.
Ia turut menyatakan bahawa pada 16 Jan 2023, Pelabuhan Sabah menerima kelulusan daripada Kabinet Sabah untuk menjalin kerjasama strategik dengan DP World, penyedia terkemuka logistik rantaian bekalan pintar menyeluruh di seluruh dunia.
Bidang utama kerjasama itu ialah pengurusan dan operasi SBCP serta pelaburan logistik dan infrastruktur rantaian bekalan di Sabah.
“Ini dijangka membantu mempercepatkan inisiatif hab pemindahan penghantaran dengan cadangan nilai tambah yang akan dibawa oleh DP World ke Pelabuhan Sabah dan negeri ini secara amnya,” katanya.
— BERNAMA.




