KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd menandatangani perjanjian bekalan tenaga boleh baharu (SARE) dengan Aeon Co (M) Bhd untuk pemasangan sistem fotovolta solar (PV) di semua Pusat Beli-belah Aeon dan Aeon Big di seluruh negara.
Mengikut perjanjian itu, GSPARX akan memasang dan menyelenggara sistem PV 77,000 kilowatt puncak (kWp) di ekosistem Aeon selama 25 tahun.
Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata inisiatif bersama Aeon dijangka berterusan sehingga 2024.
Kos setiap pemasangan tapak PV adalah kira-kira RM3 juta hingga RM4 juta dan akan ditanggung oleh TNB sebagai sebahagian daripada model perniagaan perbelanjaan modal sifar yang ditawarkan oleh GSPARX dalam usaha untuk menggalakkan pelanggan menyertai inisiatif tenaga boleh baharu bagi merealisasikan sasaran sifar bersih menjelang 2050.
Beliau berkata usaha ini akan membantu Aeon menjana sendiri tenaga elektrik dan membolehkan penjimatan sehingga 30 peratus.
“Tumpuan akan diberikan kepada pusat beli-belah besar agar pelanggan Aeon dapat menikmati faedah dengan lebih cepat,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Aeon Co, Tsugutoshi Seko berkata pemasangan pertama bagi projek ini telah siap pada Oktober 2022 di Pusat Beli-belah Alpha Angle, Wangsa Maju, dekat sini dengan PV 1,513 kWp di bahagian bumbung dan tempat letak kenderaan terbuka di aras tanah.
Fasa pertama pemasangan PV akan dijalankan di 11 pusat beli-belah Aeon tahun ini.
“Kami berpandangan ini sebagai peluang terbaik untuk terus menggalakkan inisiatif penjimatan tenaga dan merealisasikan masa depan yang lebih lestari,” katanya.
— BERNAMA




