KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Harn Len Corp Bhd mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Almal Resources Sdn Bhd (ARSB) daripada Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel dengan nilai RM54.72 juta.
Dalam kenyataan hari ini, Harn Len berkata pertimbangan pembelian itu akan dipenuhi melalui terbitan dan peruntukan sebanyak 31.27 juta saham baharu syarikat itu dan pertimbangan tunai sebanyak RM32.83 juta.
Resolusi itu telah diundi dan dilaksanakan dengan sewajarnya pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat itu hari ini.
Harn Len berkata selepas pengambilalihan tersebut, Mohamed Nizam akan menjadi antara pemegang saham utamanya dengan 5.5 peratus kepentingan.
Mohamed Nizam, seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam operasi harian perniagaan keluarganya, Jakel Group of Companies, terlibat dalam peruncitan dan pembuatan tekstil serta pembangunan hartanah.
“Pengambilalihan ARSB memberi peluang kepada syarikat untuk mempelbagaikan perniagaan perladangannya daripada kelapa sawit kepada tanaman lain.
“Pada masa sama, ARSB dan anak syarikatnya Pahang Coconut Valley Corp Sdn Bhd (PCVCSB) akan menjadi anak syarikat milik penuh Harn Len, yang seterusnya, mempunyai hak ke atas pajakan tanah perladangan selama 60 tahun di Rompin, Pahang,” katanya.
Bagi jumlah keluasan tanah seluas 1,639.37 hektar, Har Len menganggarkan kawasan untuk tanaman kira-kira 1,618.74 hektar manakala baki 20.23 hektar akan digunakan untuk tujuan infrastruktur.
Sehingga 10 Mac 2023, PCVCSB telah menanam kelapa sawit seluas 121.41 hektar dan nanas seluas 214.48 hektar.
Ketua Pegawai Operasi Harn Len Low Yew Yern berkata ladang nanas boleh menjana pendapatan yang lebih cepat untuk kumpulan dan mengurangkan kebergantungan kepada ladang kelapa sawit.
“Kumpulan berhasrat untuk menggunakan sehingga 404.69 hektar tanah untuk tanaman nanas tertakluk kepada penilaian kebolehlaksanaan selanjutnya yang akan dijalankan.
“Kami menjangka untuk memulakan penanaman nanas dalam tempoh enam bulan selepas selesai cadangan pengambilalihan ARSB,” kata Low.
— BERNAMA




