KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) — Keuntungan bersih Kim Loong Resources Bhd (Kim Loong) bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari, 2023 meningkat 19 peratus kepada RM162.56 juta daripada tahun kewangan 2022.
Hasilnya meningkat 12 peratus kepada RM1.91 bilion kebanyakannya disebabkan oleh harga jualan purata yang lebih tinggi bagi tandan segar (FFB) dan minyak sawit mentah (MSM) masing-masing sebanyak 10 peratus dan 9 peratus.
“Pengeluaran FFB dan MSM bagi tahun itu masing-masing lebih tinggi sebanyak lapan peratus dan enam peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi suku keempat 2023 berakhir 31 Januari 2023, Kim Loong mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi pada RM36.92 juta berbanding RM30.96 juta yang direkodkan pada suku yang sama sebelumnya.
Bagaimanapun, pendapatannya susut 13 peratus kepada RM431.82 juta berbanding RM496.63 juta yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022.
Melangkah ke hadapan, syarikat itu mengunjurkan pengeluaran FFB untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Januari 2024 mungkin 15 peratus lebih tinggi daripada tahun kewangan 2023 disebabkan lebih banyak kawasan tanam semula yang akan matang dan profil jangka hayat pokok lebih baik.
“Bagi operasi pengilangan minyak sawit, kami menjangkakan jumlah kuantiti pemprosesan boleh mengekalkan sekurang-kurangnya 1.5 juta tan metrik FFB untuk tahun kewangan semasa,” kata syarikat itu.
“Loji biogas kami di Keningau telah memulakan bekalan tenaga elektirk kepada grid pada Disember 2022 dan kami menjangkakan loji ini boleh menyumbang secara positif kepada pendapatan pada tahun kewangan 2024,” katanya.
Selain itu, Kim Loong berkata sebuah lagi loji biogas di Telupid dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun kewangan tahun 2024.
Harga purata MSM yang dijangka untuk tahun 2024 boleh melebihi RM4,000 satu tan metrik, katanya.
— BERNAMA




