KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Lagenda Mersing Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung dimiliki 70 peratus Lagenda Properties Bhd (Lagenda Properties) telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Seriemas Development Sdn Bhd untuk membeli tanah seluas 435.23 hektar di Kulai, Johor pada harga RM398.2 juta.
Pemaju perumahan mampu milik dan perbandaran bersepadu itu dalam satu kenyataan berkata pertimbangan pembelian tersebut akan dipenuhi menerusi gabungan dana dan pinjaman yang dijana secara dalaman.
“Pembelian strategik ini akan membolehkan Lagenda Properties memanfaatkan pasaran hartanah yang besar kerana kajian kami menunjukkan terdapat ketidakpadanan bekalan dan permintaan perumahan yang teruk di Johor terutamanya dalam segmen kediaman bertanah mampu milik,” kata Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh.
Jimmy berkata rumah mampu milik berada mendapat permintaan tinggi ketika ini tetapi jumlahnya adalah rendah, syarikat itu mempunyai kehadiran pasaran yang kukuh dalam segmen khusus itu.
Lagenda Properties mempunyai 1,507.86 hektar pada akhir September 2022, selepas selesai proses pembelian itu, simpanan tanah kumpulannya akan meningkat hampir 30 peratus kepada 1942.90 hektar, kata kumpulan itu.
Lagenda Properties berkata tanah itu terletak berdekatan dengan pelbagai taman perindustrian, 18km jauhnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dengan hab logistik dan perindustrian yang berkaitan serta jaraknya adalah 39km dari pusat bandar Johor Bahru.
Kumpulan itu merancang untuk membangunkan sebuah perbandaran berskala besar mampu milik selepas selesai proses pembelian tersebut, katanya.
— BERNAMA




