KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) — Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) dan Petronas Gas Bhd telah memeterai satu usaha sama sebagai pemilik bersama dan pelaksana projek loji janakuasa bernilai RM230 juta di Sabah.
Kemudahan itu juga merupakan pembekal tunggal tenaga kepada fasiliti gas asli cecair (LNG) terapung berhampiran pantai milik Petronas.
KAB Energy Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh KAB, telah memeterai perjanjian pembelian saham bagi mengambilalih 10 peratus kepentingan dalam anak syarikat Petronas Gas, Regas Terminal (Lahad Datu) Sdn Bhd yang bertanggungjawab bagi pemilikan serta melaksanakan projek loji janakuasa itu, kata satu kenyataan KAB hari ini.
Selain itu, KAB Energy turut menandatangani perjanjian pemegang saham dengan Petronas Gas untuk berperanan sebagai rakan teknikal dalam usaha sama terbabit.
Pengarah Urusan Kumpulan KAB Datuk Lai Keng Onn berkata pemilikan bersama dan pelaksanaan projek tenaga bersih dengan Petronas Gas itu hanya membuktikan kemampuan mereka dalam ruang penyelesaian tenaga lestari.
“Kami berharap dapat berkongsi kepakaran dengan Petronas Gas bagi membolehkan loji janakuasa ini mencapai kejayaan serta menyumbang kepada sasaran tenaga kerajaan. Ini turut menjadi model pembangunan dalam usaha merebut lebih banyak projek di Malaysia serta Asia Tenggara,” katanya.
Sementara itu, pemilikan Regas Terminal terhadap aset itu yang disasarkan siap pada suku pertama 2026.
Regas Terminal akan memeterai perjanjian pembelian tenaga bagi pembekalan kepada kemudahan LNG terapung berhampiran pantai di Sipitang, Sabah bagi tempoh konsesi selama 20 tahun.
“Sementara menunggu loji janakuasa itu memulakan operasi, KAB akan memperakui hasil daripada peranannya sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan mulai tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis 2023 dan berikutnya,” katanya.
— BERNAMA




