KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) — PLS Plantation Bhd, iaitu anak syarikat Ekovest Bhd merancang untuk mengurangkan perniagaan perladangan kelapa sawitnya daripada 80 peratus ketika ini kepada hanya kira-kira 15 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ekovest, Tan Sri Lim Kang Hoo berkata buat masa ini, kebanyakan hasil syarikat masih didominasi oleh perniagaan kelapa sawit.
“Syarikat akan mempelbagaikan tanamannya secara beransur-ansur dengan memasukkan durian, nanas, pisang dan tanaman-tanaman lain yang juga penting dalam inisiatif sekuriti makanan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina kumpulan Ekovest di EkoCheras Mall hari ini.
Lim menambah syarikat itu juga meninjau peluang untuk meneroka potensi eksport yang besar bagi pasaran durian.
“Terdapat pasaran yang besar untuk durian di negara-negara seperti China, Jepun, Korea Selatan dan juga Australia,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Kumpulan PLS Plantation Bhd, Tan Sri Mohamed Nazir Razak.
— BERNAMA




