KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) — Acibadem Healthcare Group, anak syarikat IHH Healthcare, mengambil alih 100 peratus pegangan dalam Kent Health Group, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di Izmir, Turkiye.
Kent yang diasaskan pada 2004, mengendalikan hospital swasta terbesar di Izmir – Kent Hospital dengan 340 katil dan pusat kanser – serta dua pusat perubatan di bandar tersebut.
Pengasas dan pengerusi Acibadem Mehmet Ali Aydınlar berkata kumpulan itu berbangga dapat membawakan jenama Acibadem ke Izmir, yang merupakan bandar ketiga terbesar di Turkiye.
“Janji niaga ini selari dengan strategi pertumbuhan kami dan mencapai matlamat kami yang begitu lama dinantikan untuk berkhidmat dengan penduduk Izmir.
“Kami berbesar hati untuk menyediakan perkhidmatan kami kepada masyarakat dengan menambah Kent Health Group, penyedia penjagaan kesihatan swasta utama di Izmir ke dalam portfolio kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Kent dan rakan di MidEuropa, Matthew Strassberg berkata pengambilalihan oleh Acibadem itu mengukuhkan lagi nilai strategik yang dijana oleh Kent menerusi pelaburan ini dan memastikan kesinambungan fokus terhadap kecemerlangan perubatan dan perkhidmatan bagi manfaat pesakit dan pemegang kepentingan lain.
Izmir Kent Hospital akan menjadi hospital ke-19 Acibadem di Turkiye dan yang ke-26 di seluruh dunia.
Dengan pengambilalihan itu, bilangan pusat perubatan dalam rangkaian Acibadem akan meningkat kepada 16.
Janji niaga itu dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2023 setelah mendapat kelulusan kawal selia yang perlu.
— BERNAMA




