KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh EP Manufacturing Bhd (EPMB), EP Blueshark Sdn Bhd (EBSB), menandatangani perjanjian induk dengan Averte Global Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dan Blueshark Group Ltd yang berpangkalan di Hong Kong untuk bekerjasama merebut peluang perniagaan motosikal elektrik (e-Bikes) di Indonesia dan Vietnam.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EPMB berkata ia akan membekalkan e-Bikes kepada sebuah syarikat usaha sama bernama Averte Blueshark Asia Ltd (Averte Blueshark), yang ditubuhkan dan diperbadankan oleh Averte Global dan Blueshark Group.
Katanya perjanjian itu untuk tempoh lima tahun dan sekurang-kurangnya dua juta unit e-Bikes, termasuk semua aksesori dan semua perisian yang disertakan atau diperlukan, akan dibeli oleh Averte Blueshark dalam tempoh ini.
“Perjanjian induk itu akan memberi peluang kepada EPMB dan anak syarikatnya untuk pengembangan perniagaan ke pasaran Indonesia dan Vietnam serta dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
EPMB berkata pembelian awal sebanyak 23,000 unit daripada EBSB telah dibuat untuk penghantaran pada suku pertama 2023.
Katanya harga bagi setiap e-Bikes dijangka daripada US$1,850 hingga US$3,900 (US$1=RM4.37).
cEBSB akan menjual dan Averte Blueshark akan membeli kuantiti produk yang dipesan oleh pembeli, tertakluk kepada terma dan syarat seperti yang ditetapkan dalam perjanjian induk,” katanya.
Dalam kenyataan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB Lim Sim Yee berkata syarikat melihat peluang pertumbuhan yang luar biasa untuk kenderaan elektrik (EV) beroda dua di Indonesia dan Vietnam.
Menurut kajian bebas oleh Research and Markets, katanya pasaran e-Bike Indonesia, sebagai contoh, dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 20.96 peratus untuk mencapai US$816.2 juta menjelang 2025.
“EPMB berharap untuk berada di barisan hadapan untuk memanfaatkan permintaan ini,” katanya.
— BERNAMA




