KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun pada sesi dagangan tengah hari ini berikutan kemunculan aktiviti pengambilan untung selepas bergerak cergas semalam.
Pada waktu rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.23 mata kepada 1,475.70 daripada 1,480.93 penutupan urus niaga Khamis.
Pada sesi pembukaan, pasaran dibuka 1.40 mata lebih rendah pada 1,479.53 dan berlegar antara 1,474.48 dan 1,482.39 di sepanjang sesi dagangan pagi.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 433 berbalas 284, manakala 389 kaunter tidak berubah, 1,104 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.95 bilion unit bernilai RM793.19 juta.
Menurut Rakuten Trade Sdn Bhd, sentimen pasaran kemungkinan kembali berhati-hati memandangkan ketiadaan pemangkin yang kukuh, justeru, ia menjangka indeks akan berlegar dalam julat 1,475-1,485 hari ini.
“Walau bagaimanapun, kami percaya potensi kemasukan pelancong China pada 8 Jan 2023 pastinya akan memberi kesan positif kepada sektor pelancongan domestik dan segmen runcit domestik,” katanya dalam satu nota hari ini.
Pada tengah hari, saham wajaran tinggi Bursa – IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM6.06, Digi naik dua sen menjadi RM3.88 dan Hong Leong Bank meningkat 8.0 sen untuk mencatatkan harga RM20.42.
Sementara itu, Maybank dan TNB susut 4.0 sen setiap satu kepada RM8.74 dan RM9.41 dan Petronas Chemicals turun 7.0 sen kepada RM8.33.
Bagi saham aktif, syarikat yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE iaitu DS Sigma melonjak 15 sen kepada 70 sen, Zen Tech naik 1.5 sen pada 4.0 sen dan Revenue Group menokok 2.5 sen kepada 51 sen, manakala Borneo Oil tidak berubah pada 2.0 sen dan Top Glove turun 1.0 sen menjadi 90 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 26.66 mata kepada 10,608.31, Indeks FBMT 100 berkurangan 28.44 mata menjadi 10,319.90 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 25.28 mata kepada 10,809.27.
Indeks FBM 70 turun 0.62 mata kepada 13,055.48 manakala Indeks FBM ACE lebih rendah sebanyak 14.24 mata kepada 5,358.06.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan sebanyak 42.78 mata kepada 16,381.58, Indeks Perladangan menguncup 57.23 mata kepada 6,907.58 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.85 mata kepada 181.01.
Bagaimanapun, Indeks Tenaga meningkat 7.12 mata kepada 781.0.
— BERNAMA

