KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd, Gamuda Land (Botanic) Sdn Bhd, membeli lapan bidang tanah pegangan kekal seluas kira-kira 215.3 hektar di Bandar Kundang, Selangor daripada Kundang Properties Sdn Bhd berharga RM360 juta.
Syarikat berkenaan dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata pembelian tersebut adalah sinergi memandangkan tanah itu terletak bersebelahan dengan perbandaran Gamuda Gardens sedia ada seluas 327.8 hektar di utara Sungai Buloh.
Gamuda berkata hartanah yang diperoleh itu mudah diakses melalui tiga lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya LATAR dan Lebuhraya Koridor Guthrie.
“Pembangunan tanah itu selepas pembelian tersebut dirancang sebagai lanjutan daripada perbandaran Gamuda Gardens sedia ada dan bertujuan untuk menawarkan rumah berjenama Gamuda dengan konsep produk dan harga produk yang bersesuaian untuk membezakan daripada pemaju lain,” katanya.
Menurutnya, perjanjian itu sejajar dengan pelan perniagaan lima tahun syarikat untuk mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak RM8 bilion dan bersesuaian dengan usaha untuk berkembang ke kawasan yang berdekatan.
Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangka, pembelian tanah itu dijangka selesai menjelang akhir suku kedua 2023, kata Gamuda.
— BERNAMA




