KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Dufu Technology Corp Bhd, Dufusion Sdn Bhd membeli dua hartanah di Pulau Pinang daripada Merbau Sejati Sdn Bhd (MSSB) dengan harga RM45.37 juta.
Pengeluar alat ganti pemacu cakera keras itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Dufusion menandatangani perjanjian untuk membeli dua unit kilang berkembar setingkat tersebut dengan bangunan pejabat dua tingkat.
“Pembelian itu adalah untuk membolehkan kumpulan Dufu meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengembangkan aktiviti syarikat dalam fabrikasi logam, pemesinan dan pemasangan,” katanya.
Dufu berkata kilang pembuatan baharu itu terletak berhampiran kemudahan pembuatan sedia ada Dufusion di Bukit Minyak.
Harga pembelian akan dibiayai melalui dana dan pinjaman yang dijana secara dalaman.
Ia berkata pembelian itu, yang dijangka selesai dalam tempoh 36 bulan, merupakan peluang untuk menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan serta nilai pemegang saham dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang.
— BERNAMA




