KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — UEM Sunrise Bhd menjual tanah seluas 94.9 hektar di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor pada harga RM289.2 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UEM Sunrise berkata anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Nusajaya Rise Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Nusajaya Tech Park Sdn Bhd (NTPSB) hari ini.
NTPSB ialah syarikat usaha sama dimiliki oleh UEM Land Bhd, anak syarikat milik penuh syarikat itu dan Ascendas Land (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung CapitaLand Development, Singapura.
NTPSB merupakan pemaju Nusajaya Tech Park.
Berikutan pembelian itu, NTPSB akan memiliki dan membangunkan sebuah taman perindustrian seluas 150.1 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.5 bilion untuk dibangunkan dalam masa lapan hingga 10 tahun.
“Kami positif bahawa pengembangan fasa perindustrian baharu di Nusajaya Tech Park akan menggalakkan lagi aktiviti ekonomi, menarik pelabur dan membolehkan lebih banyak syarikat untuk berpindah ke Iskandar Puteri,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.
Sufian berkata ia akan turut mengukuhkan lagi komitmen syarikat untuk menarik pelaburan langsung asing ke Johor, seiring dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mengetengahkan Johor sebagai hab destinasi idaman dalam pelaburan dan pembangunan.
“Ia seterusnya akan mencipta peluang pekerjaan selanjutnya di wilayah selatan,” katanya.
— BERNAMA




