KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Wellspire Holdings Bhd telah menandatangani perjanjian pengunderaitan dengan TA Securities Holdings Bhd (TA Securities) bersempena pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Wellspire adalah pengedar makanan di Thailand dengan memfokuskan kepada makanan ringan.
“Perjanjian pengunderaitan yang termeterai ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kami ke arah menjadi entiti tersenarai, disokong oleh model perniagaan kami sebagai pengedar makanan di Thailand,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pegawai Eksekutifnya Mo Guopiao dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat itu berkata hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk sama ada membeli atau membina gudang dan kemudahan operasi di Thailand, membiayai modal kerja dan membiayai perbelanjaan penyenaraian.
“Pembelian atau pembinaan gudang dan kemudahan operasi berperanan sebagai pelaburan jangka panjang untuk meningkatkan asas aset syarikat,” katanya.
Wellspire juga berkata IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 124.60 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 124.60 juta saham biasa sedia ada.
“Daripada 124.60 juta saham terbitan awam, 36 juta akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian manakala 10 juta akan diperuntukkan kepada pengarah yang layak, kakitangan Wellspire dan anak syarikatnya serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan Wellspire,” katanya.
Baki 78.60 juta akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
TA Securities ialah penaja jamin tunggal IPO Wellspire dan penasihat utama, penaja dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO tersebut.
— BERNAMA
TAG: Wellspire, IPO, Mo Guopiao, TA Securities, pengunderaitan




