KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Anak syarikat 70 peratus milik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) Kwasa Sentral Sdn Bhd (KSSB) memeterai perjanjian penyewaan (TA) dengan KD District Cooling System Sdn Bhd (KDDCS).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MRCB berkata perjanjian itu dimeterai berhubung dengan ‘premis yang disewakan’ di Bangunan Taman Kwasa Sentral, Persiaran Kwasa Sentral 3, Pusat Bandar Kwasa Damansara, Shah Alam, Selangor.
Perjanjian itu adalah untuk tempoh permulaan tiga tahun dengan pilihan untuk memperbaharui bagi tujuh penggal berikutnya selama tiga tahun setiap satu dan satu penggal berikutnya selama satu tahun dengan anggaran jumlah RM62.19 juta (urus niaga).
KDDCS ialah anak syarikat milik penuh MRCB DCS Holding Sdn Bhd, yang seterusnya merupakan anak syarikat milik penuh MRCB.
Ia terlibat terutamanya dalam membekalkan air sejuk kepada bangunan komersial di Plot MX1 dan Plot C8 Kwasa Sentral Development.
KDDCS telah menandatangani perjanjian bekalan air sejuk dengan pelanggan pertama, iaitu Kwasa Utama Sdn Bhd untuk membekalkan air sejuk kepada Menara KWSP di Plot C8.
Selepas itu, KDDCS juga akan membekalkan air sejuk kepada bangunan komersial lain yang akan dibina secara berperingkat.
KSSB ialah pemilik bangunan yang akan dibangunkan sebagai blok utiliti yang terdiri daripada taman pusat, pusat konvensyen, surau, pencawang Tenaga Nasional Bhd, loji sistem penyejukan daerah dan tempat letak kereta.
Ia kemudiannya akan menyewakan loji DCS kepada KDDCS untuk memasang dan menjalankan peralatan DCS bagi membekalkan air sejuk.
Sementara itu, MRCB berkata urus niaga itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan dan pendapatan sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022.
Urus niaga itu juga tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar syarikat serta pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat kerana ia tidak melibatkan sebarang terbitan saham.
Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, perjanjian itu akan menjangkau lebih 25 tahun bermula pada 15 Dis 2022, untuk Fasa 1.
— BERNAMA




