KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) — Digi.Com Bhd (Digi) mengumumkan pemegang sahamnya meluluskan cadangan penggabungan operasi telekomunikasinya dengan Celcom Axiata Bhd pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini.
Digi berkata, kelulusan pemegang saham Digi dan Axiata Group Bhd (syarikat induk Celcom) adalah antara langkah terakhir dalam proses kelulusan penggabungan yang dicadangkan selepas diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia Bhd.
“Makluman rasmi mengenai keputusan EGM akan dibuat kepada Bursa Malaysia sebaik sahaja pasaran dibuka semula pada minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Apabila selesai, syarikat induk Axiata dan Digi, Telenor ASA masing-masing akan memegang pemilikan sama sebanyak 33.1 peratus dalam syarikat yang baru digabungkan itu, yang dicadangkan untuk dinamakan sebagai Celcom Digi Bhd.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan awal hari ini, Axiata Group Bhd berkata pemegang sahamnya juga telah meluluskan cadangan penggabungan tersebut pada EGM yang diadakan hari ini.
“Keputusan EGM melalui undian telah dikemukakan kepada Bursa Malaysia seperti yang dikehendaki oleh peraturan yang terpakai,” katanya
— BERNAMA




