KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) menyasarkan pertumbuhan yang ketara dalam segmen penyelesaian tenaga mampan (SES), disokong oleh pengiktirafan potensi hasil konsesi lebih RM500 juta sehingga 2046.
Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Lai Keng Onn berkata penjanaan hasil itu adalah daripada portfolio asetnya yang semakin berkembang dalam penjanaan tenaga bersih dan tenaga boleh baharu serta penyediaan penyelesaian cekap tenaga, selain daripada kontrak sedia ada di Malaysia dan Thailand, serta pengambilalihan yang berterusan.
Pada tahun kewangan 2023, katanya kumpulan menjangka akan mencapai hasil kira-kira RM200 juta dan menjangka segmen SES akan menyaksikan pertumbuhan yang kukuh antara 20 peratus dan 40 peratus dalam tempoh tiga hingga empat tahun.
“Bagi tahun ini, sumbangan hasil daripada segmen SES adalah lebih 25 peratus,” katanya pada sidang media secara maya pasca mesyuarat agung luar biasa (EGM) KAB hari ini.
Beliau berkata kumpulan mempunyai 14 kontrak solar di Malaysia dan Thailand dengan gabungan kapasiti 17,318 kilowatt puncak (kWp), terdiri daripada projek konsesi sehingga 2046, dengan jumlah anggaran nilai konsesi RM146.8 juta dan projek pemasangan langsung sehingga 14 Nov, 2022.
Kontrak solar itu termasuk pengambilalihan Matahari Suria Sdn Bhd baru-baru ini dengan kontrak pembelian tenaga sedia ada dengan Tenaga Nasional Bhd sehingga 2037 dan pemeteraian dua perjanjian pembelian tenaga solar untuk tempoh 20 tahun dengan Nextgreen Pulp dan Paper Sdn Bhd.
“Kami gembira dengan kelulusan daripada pemegang saham untuk kepelbagaian kami dalam SES dan akan memacu pengembangan untuk meraih lebih banyak peluang dalam industri yang berkembang pesat.
“Melalui asas aset kami yang semakin meningkat, kami menjangka segmen SES akan menjadi penyumbang keuntungan yang ketara kepada kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” kata Lai.
Pada EGM, katanya pemegang saham kumpulan turut meluluskan cadangan penempatan persendirian sehingga 361.6 juta saham baharu, mewakili kira-kira 20 peratus daripada saham terbitan sedia ada kumpulan.
“Pelabur bebas dan harga terbitan akan ditentukan kemudian,” katanya, sambil menambah kumpulan itu menjangka potensi hasil sebanyak RM134.0 juta daripada langkah tersebut berdasarkan harga terbitan ilustrasi sebanyak 37 sen sesaham.
Daripada hasil tersebut, kumpulan berhasrat untuk memperuntukkan RM36.0 juta untuk tujuan modal kerja, RM31.0 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM66.2 juta untuk membiayai projek SES sedia ada dan akan datang serta RM0.8 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
“Modal saham diperbesarkan proforma KAB selepas cadangan penempatan persendirian akan meningkat kepada RM237.6 juta daripada RM103.6 juta pada masa ini,” katanya.
Selain perniagaan SES, katanya penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga itu telah berbincang dengan pemilik aset dan pelanggan yang berpotensi untuk lebih banyak pengambilalihan dan projek di Malaysia dan di peringkat serantau.
Pada masa ini, anggaran perbelanjaan modal kumpulan untuk kontrak sedia ada dan projek yang berpotensi berjumlah RM52.3 juta untuk projek solar fotovoltaik dengan kapasiti lebih 17,000 kWp dan RM220 juta untuk projek tenaga bersih sehingga 65 megawatt.
— BERNAMA




