KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) — Meskipun Wall Street mencatatkan keuntungan semalaman, ini gagal membantu Bursa Malaysia yang memulakan urus niaga pagi ini agak rendah, di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 8.86 mata kepada 1,441.68 daripada 1,450.54 penutup Selasa.
Pasaran dibuka 3.04 mata lebih rendah untuk mencatatkan paras 1,447.50.
Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 153 berbalas 105, manakala 188 kaunter tidak berubah, 1,879 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 88.74 juta unit bernilai RM40.90 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup dalam nada yang begitu positif memandangkan ramai pihak percaya bahawa inflasi di Amerika Syarikat (AS) mungkin telah mencapai puncaknya.
“Indeks harga pengeluar AS terkini menyaksikan kenaikan lebih perlahan daripada jangkaan yang mendorong hasil 10 tahun AS menurun di bawah 3.78 peratus. Purata DJI memperoleh 56 mata manakala Nasdaq melonjak sebanyak 162 mata.
“Bagi bursa tempatan, FBM KLCI ‘tunduk’ kepada aktiviti jualan kukuh pada hari Selasa, mungkin disebabkan PRU15 hampir tiba dan ia ditutup pada paras 1,450.
“Walaupun kami menjangkakan beberapa aktiviti memburu saham murah, kami mengunjurkan sentimen terus berhati-hati, justeru indeks akan berada dalam aliran antara 1,445 dan 1,460 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau menambah memandangkan sektor korporat Malaysia kini bergerak ke arah musim pendapatan, aktiviti pembelian mungkin dilihat di kaunter perbankan dan telekomunikasi kerana ramai yang meramalkan pertumbuhan kukuh bagi kedua-dua sektor ini.
Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia – Maybank dan Public Bank masing-masing susut empat sen kepada RM8.46 dan RM4.33, Petronas Chemicals turun lima sen kepada RM8.57, CIMB rugi tujuh sen kepada RM5.34 dan IHH Healthcare lemah dua sen menjadi RM5.94.
Antara saham aktif, Advance Synergy merosot setengah sen kepada 12 sen, Malaysia Steel Works (KL) menokok 7.5 sen kepada 34 sen dan Malaysian Resources menambah setengah sen kepada 29 sen, manakala Icon Offshore dan Iris Corporation tidak berubah pada 14.5 sen dan 12.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 28.09 mata kepada 10,415.88, Indeks FBM Emas menyusut 42.48 mata menjadi 10,273.19, FBM ACE lemah 27.97 mata kepada 4,985.15 dan Indeks FBMT 100 jatuh 46.60 mata kepada 9,998.37 manakala FBM 70 peroleh 2.10 mata kepada 12,306.67.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan sebanyak 98.57 mata menjadi 16,073.16, Indeks Perladangan susut 56.24 mata kepada 6,875.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.28 mata kepada 178.38, manakala Indeks Tenaga bertambah 4.57 mata kepada 730.00.
— BERNAMA




