KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) — IHH Healthcare Bhd bersedia meneruskan tawaran terbuka untuk memiliki 26 peratus pegangan tambahan dalam penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan India Fortis Healthcare Ltd sekiranya menerima kelulusan daripada Lembaga Sekuriti dan Bursa India (SEBI).
IHH berkata keputusan Mahkamah Agung baru-baru ini di dalam penghakiman bertulis terakhirnya bertarikh 22 Sept, 2022 tidak menemui atau menunjukkan sebarang salah laku IHH dari segi pelaburannya ke dalam Fortis.
Pada masa ini juga tiada perintah mahkamah yang belum selesai terhadap IHH dalam prosiding ini, katanya.
“Oleh itu, IHH kini sedang berbincang dengan SEBI untuk menentukan langkah seterusnya berkaitan tawaran tender mandatori di Fortis, dengan mematuhi sepenuhnya semua peraturan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Dr Kelvin Loh berkata: “Kami pastinya memahami kekecewaan yang dialami pelabur Fortis sejak empat tahun lalu mengenai ketidaktentuan tawaran terbuka IHH.
“Dengan keputusan penghakiman Mahkamah Agung baru-baru ini yang menjelaskan bahawa kami telah menjalankan pelaburan kami ke dalam Fortis secara adil dan telus, kami sedang berbincang dengan SEBI bagi meneruskan tawaran itu. Sekiranya SEBI bersetuju dan meluluskannya, IHH bersedia meneruskan tawaran terbuka secepat mungkin.”
Menyedari bahawa Fortis ialah platform pertumbuhan utama IHH di India, Loh berkata IHH berharap untuk memperoleh hasil yang positif supaya dapat meneroka lebih banyak jalan untuk bekerjasama dengan Fortis bagi mempercepatkan rancangan pertumbuhannya, “bersama-sama memenuhi keperluan penjagaan kesihatan pesakitnya di India dengan berhati-hati dan cemerlang, sambil melindungi kepentingan pihak-pihak berkepentingan kami.”
IHH ialah pemegang saham terbesar dalam Fortis dengan kepentingan ekuiti sebanyak 31.17 peratus, yang diperoleh melalui penguntukan keutamaan pada November 2018.
— BERNAMA




