KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) — Paragon Globe Bhd bercadang untuk membeli sebidang tanah pegangan bebas seluas 42.28 hektar di Johor Bahru pada RM71.5 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, syarikat itu menjelaskan anak syarikat milik penuhnya, Paragon Business Hub Sdn Bhd (PBHSB), telah menandatangani perjanjian jual dan beli dengan Tan Teng Chiu serta Tan Chaan Hong untuk cadangan pembelian tanah itu.
“Cadangan pembelian itu adalah sejajar dengan pelan strategik Paragon Globe untuk memanfaatkan peluang bagi mencipta nilai ekonomi yang lebih besar dan meningkatkan potensi pendapatan dalam jangka masa sederhana hingga panjang.
“Ini akan membolehkan Paragon Globe menambah simpanan tanah sedia ada dengan tanah di Johor, yang terletak di tengah-tengah Johor Bahru, sekali gus membolehkan Paragon Globe memulakan kerja-kerja perancangan dan pembanguan sewajarnya,” tambahnya.
Menurut Paragon Globe, pihaknya merancang untuk membangunkan tanah itu menjadi kawasan perindustrian berdasarkan konsep yang baik.
Cadangan pembelian itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan dan pendapatan sesaham Paragon Globe bagi tahun kewangan berakhir Mac 2023 namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan pendapatan sesaham.
Ia menambah bahawa pembelian yang dicadangkan itu dijangka selesai dalam tempoh enam bulan dari tarikh perjanjian itu menjadi tanpa syarat, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan diperoleh.
— BERNAMA




