KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — Niche Capital Emas Holdings Bhd (NICE) bercadang untuk melaksanakan tawaran saham persendirian sehingga 30 peratus daripada jumlah bilangan saham biasa terbitannya untuk memperoleh hasil kasar sehingga RM37.66 juta terutamanya bagi terus membiayai perniagaan perlombongannya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata cadangan itu akan melibatkan terbitan 369.23 juta saham, dan hasil kasar dijangka digunakan oleh kumpulan itu untuk perniagaan perlombongan di Kawasan Utara Sokor di Kelantan (RM23 juta), perniagaan berkaitan hartanah (RM5.0 juta), modal kerja (RM8.56 juta), serta perbelanjaan untuk cadangan tawaran saham persendirian (RM1.0 juta).
Untuk tujuan ilustrasif, harga terbitan indikatif adalah berdasarkan anggaran 19.69 peratus diskaun kepada harga purata pasaran wajaran volum lima hari saham NICE sehingga dan termasuk tarikh terkini sebanyak 12.7 sen sesaham.
“Tawaran saham persendirian itu akan membolehkan kumpulan itu mengumpul dana tambahan bagi tujuan itu, yang dijangka menyumbang secara positif kepada potensi pendapatannya pada masa hadapan,” katanya.
Pada 14 April 2021, NICE mengumumkan bahawa syarikat itu mempelbagaikan perniagaan teras sedia ada dengan memasukkan penerokaan mineral, perlombongan dan perniagaan berkaitan perlombongan.
Melangkah ke hadapan, dengan hasil yang akan diperoleh daripada tawaran saham persendirian, NICE akan dapat menjalankan kerja-kerja penerokaan di Kawasan Utara Sokor, dan jika berjaya, akan membolehkannya memperoleh aliran hasil berulang daripada pengekstrakan, pemprosesan dan penjualan emas dalam kawasan berkenaan untuk jangka masa panjang.
“Bagaimanapun, kumpulan akan kekal berhati-hati dalam mengembangkan perniagaannya memandangkan ketidaktentuan semasa dalam keseluruhan ekonomi global dan tempatan dan akan mengambil kira, antara lain, keperluan kewangan,” katanya.
— BERNAMA




