KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Subsidiari 70 peratus milik Central Global Bhd (CGB), RYRT International Sdn Bhd telah memperoleh kerja-kerja sub-kontrak bernilai RM183.29 juta daripada kontraktor utama pihak ketiga, Pembinaan Urusmesra Sdn Bhd.
Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kontrak itu merangkumi pembekalan loji, jentera, buruh serta bahan yang diperlukan untuk pembinaan dan penyiapan projek yang dikenali sebagai “Projek Jalan Semawang Ke Tanjung Kuala Gum-Gum, Sandakan, Sabah”.
Projek itu akan bermula pada 14 Okt 2022 dan dijangka siap menjelang 13 Okt 2025.
“Penerimaan kontrak itu adalah dalam urusan biasa perniagaan RYRT International dan akan meningkatkan tempahan dalam tangan yang sedia ada.
“Ia dijangka menyediakan aliran pendapatan dan keuntungan tambahan kepada kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
— BERNAMA




