KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) — Jentayu Sustainables Berhad dan Petrolife Aero Sdn Bhd memeterai perjanjian pemegangan saham untuk membentuk kerjasama perniagaan dalam penyelesaian tenaga mampan di Malaysia, menggunakan teknologi solar fotovoltaik (PV) dan gabungan haba dan kuasa (Co-Gen).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata usaha sama tersebut membolehkan Jentayu Sustainables memegang 51 peratus kepentingan ekuiti dan baki 49 peratus akan dimiliki oleh Petrolife.
“Kedua-dua penyelesaian ini menggunakan gas asli cecair (LNG) atau gas asli yang dibekalkan oleh Petrolife yang mana ia juga membekalkan kepada pelbagai kemudahan komersial dan perindustrian di Malaysia,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Jentayu Sustainables, Datuk Beroz Nikmal Mirdin percaya bahawa syarikat itu mampu menangani keperluan dan aspirasi sifar-bersih industri ke arah peralihan kepada penggunaan tenaga yang mampan dan lebih bersih.
“Sehubungan itu, perkongsian kami dengan Petrolife akan menghasilkan peluang, prospek dan sinergi baharu kepada kedua-dua pihak dan kami kekal menjadi pemain tenaga mampan terkemuka, membangun dengan membina kejayaan, berpegang kepada kemampanan sebagai fokus utama kami dalam apa jua yang kami lakukan,” tambahnya.
— BERNAMA




