KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) — Leform Bhd akan menerbitkan 311 juta saham baharu, mewakili 21 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Berikutan pelaksanaan IPO berkenaan, Leform yang dijadual disenaraikan pada November 2022 telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Daripada 311.0 juta saham baharu, 74.1 juta saham akan ditawarkan untuk rakyat Malaysia menerusi undian; 29.6 juta saham untuk para pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan (peruntukan borang merah jambu); 22.2 juta saham diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, katanya.
“Baki 185.1 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan dilaksanakan menerusi penempatan persendirian,” katanya dalam kenyataan.
Leform dan anak syarikatnya terlibat dalam pengeluaran dan penjualan produk keluli, terutamanya paip keluli, penyangga jalan dan produk keluli rata.
Selain pasaran utamanya di Malaysia, kumpulan turut mengeksport produk ke pasaran antarabangsa seperti New Zealand, Singapura dan Kemboja.
Pengarah Urusannya Law Kok Thye berkata pelaksanaan IPO itu akan mempercepat pelan pengembangannya dan membolehkan kumpulan meneroka pasaran modal ekuiti, sekali gus menawarkan fleksibiliti kewangan yang lebih baik bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan pada masa depan.
Sehubungan itu, Leform melaksanakan inisiatif untuk membina kemudahan baharu bagi memenuhi tempahan paip keluli dan produk keluli rata yang dijangka meningkat.
“Sebagai contoh, meluaskan kapasiti ruang penyimpanan akan memudahkan kami mengendalikan jentera dengan lebih berkesan.
“Kami akan menggunakan sebahagian daripada hasil IPO untuk meningkatkan modal kerja, mempunyai kapasiti bersedia untuk meningkatkan operasi dan output pengeluaran yang akan mengukuhkan kedudukan kami dalam industri keluli,” katanya.
— BERNAMA




