KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Ranhill Utilities Bhd melalui anak syarikat tidak langsungnya, Perunding Ranhill Worley Sdn Bhd (PRW) menerima surat anugerah (LOA) daripada PTTEP HK Offshore Ltd untuk menyediakan perkhidmatan reka bentuk dan kejuruteraan bahagian hadapan (FEED) bagi kemudahan luar pesisir SK410B Lang Lebah di Sarawak bernilai RM43 juta.
Ranhill utilities memegang 49 peratus PRW menerusi anak syarikatnya, Ranhill Worley Sdn Bhd (RWSB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata kontrak dan skop kerja untuk projek itu akan dilaksanakan oleh RWSB berikutan perjanjian perkhidmatan bertarikh 12 Julai, 2002 antara PRW dan RWSB yang mana kedua-dua pihak bersetuju untuk pelantikan eksklusif RWSB oleh PRW bagi melaksanakan perkhidmatan berkenaan dengan semua projek yang diberikan kepada PRW di Malaysia.
Ia menyatakan ini termasuklah, tetapi yang tidak terhad, kepada penyediaan perkhidmatan teknikal reka bentuk dan kejuruteraan serta pengetahuan.
Ranhill Utilities berkata, kontrak yang diperoleh PRW untuk Lang Lebah akan memanfaatkan organisasi bersepadunya, yang merangkumi kejuruteraan pelbagai disiplin dalaman ditambah dengan perkhidmatan khusus dan pakar terhadap projek itu.
Ia berkata, PRW menyediakan pasukan tempatan yang berkebolehan, berkemahiran dan berpengalaman ditambah dengan pakar yang berpengetahuan mengenai projek itu daripada RWSB.
“Tempoh kerja ialah lapan bulan, bermula dari tarikh mesyuarat pada 22 Julai, 2022.
“Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Ranhill Utilities bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022,” tambahnya.
PRW terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk kemudahan minyak dan gas.
— BERNAMA




