KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) — Pembekal perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) Betamek Berhad hari ini menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd sempena pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO itu membabitkan terbitan awam sebanyak 67.5 juta saham baharu dalam Betamek, mewakili 15 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan dan tawaran untuk jualan sebanyak 45 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Daripada 67.5 juta saham baharu, 22.5 juta saham baharu akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian; 13.5 juta saham baharu untuk para pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Betamek di bawah peruntukan borang merah jambu manakala baki 31.5 juta saham baharu diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
“Mengikut perjanjian tersebut, M&A Securities akan menaja jamin sebanyak 36 juta saham baharu yang disediakan kepada rakyat Malaysia dan peruntukan borang merah jambu,” menurut Betamek dalam kenyataan.
Hasil daripada IPO akan digunakan terutamanya untuk membiayai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pembangunan produk baharu dan meluaskan lagi ruang pejabat R&D syarikat, kemudahan penyimpanan bahan mentah dan sampingan untuk menampung pertumbuhan masa depannya, serta untuk aktiviti R&D pada masa depan.
Sebahagian daripada hasil juga akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan untuk kilang sedia ada di Rawang untuk meningkatkan kecekapan dan keupayaan pengeluarannya; membayar balik pinjaman bank; modal kerja am dan untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Betamek menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang Oktober 2022.
Pengarah Urusannya, Mirzan Mahathir berkata pemeteraian perjanjian tersebut dilaksanakan pada masa yang sesuai berikutan syarikat akan mendapat manfaat daripada permintaan yang meningkat untuk kenderaan baharu dan pelancaran model kereta baharu oleh pelanggan automotif utamanya.
“Penyelesaian EMS kami yang menyeluruh untuk pengeluar automotif membolehkan kami menyokong rantaian nilai industri automotif di samping kami mengusahakan reka bentuk dan pembangunan produk, prototaip, pemasangan papan, pemasangan elektronik dan mekanikal, ujian, pelabelan, pembungkusan dan perkhidmatan sokongan untuk jenama automotif.
“Kami merancang untuk mengembangkan rangkaian penawaran produk kami yang berkaitan dengan elektronik automotif untuk model dan varian automobil masa depan. Ini membolehkan kami menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam industri EMS automotif pada masa depan,” katanya.
— BERNAMA




