KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB) bercadang untuk mengadakan tawaran saham persendirian untuk mengumpul sebanyak RM119.18 juta yang akan digunakan bagi membiayai perniagaan penyelesaian tenaga lestari (SES) sedia ada dan masa depan kumpulan.
Langkah itu melibatkan terbitan sehingga 351.58 juta saham baharu, mewakili sehingga 20 peratus daripada jumlah saham terbitan serta bertujuan diberikan kepada pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti kemudian.
Berdasarkan harga terbitan ilustrasi sebanyak 33 sen bagi setiap saham penempatan, pelaksanaan itu dijangka meningkatkan hasil kasar berjumlah RM119.18 juta, yang mana RM49.65 juta adalah untuk membiayai projek SES sedia ada dan akan datang, RM36 juta sebagai modal kerja, RM32 juta bagi pembayaran balik pinjaman bank dan bakinya untuk perbelanjaan cadangan berkenaan.
KAB mula mencerburi perniagaan SES sejak 2019, sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mempelbagaikan perniagaan dan mewujudkan sumber pendapatan tambahan, di samping sumbangan sedia ada daripada perniagaan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal terasnya.
“Memandangkan kedua-dua perniagaan saling melengkapi antara satu sama lain serta mungkin berkongsi segmen pelanggan sasaran yang sama, inisiatif ini sejajar dengan matlamat kumpulan untuk menjadi penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga sehenti di pasaran.
“Di bawah perniagaan SES, kumpulan telah terlibat dalam penyediaan penyelesaian cekap tenaga, penjanaan tenaga bersih termasuk penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam satu makluman kepada bursa saham.
KAB menjangkakan cadangan tawaran saham persendirian itu akan selesai menjelang suku keempat 2022.
— BERNAMA




