KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — UMW IT Services Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW, hari ini menandatangani perjanjian dengan TM One Sdn. Bhd., unit perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad (“TM”), untuk mewujudkan perkongsian perkhidmatan yang berasaskan pengkomputeran awan (“cloud”) hibrid.
Perjanjian itu membawa UMW ke peringkat yang seterusnya dalam pelan hala tuju digital dan transformasinya untuk menggabungkan dan menambah baik reka bentuk pusat data semasanya. Perkongsian itu juga akan melengkapkan proses pemodenan pelbagai aplikasi Kumpulan dan menyokong usaha kumpulan dalam mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam operasi di seluruh Unit Perniagaan Strategiknya.
Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Shahril Ariffin, Ketua Pegawai Transformasi & Teknologi Kumpulan, UMW Corporation Sdn. Bhd. dan Shazurawati Abd Karim, Naib Presiden Eksekutif, TM One Sdn. Bhd. Turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Pusat Konvensyen TM ialah Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, UMW Holdings Berhad dan Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM.
Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Dalam menjayakan usaha transformasi Kumpulan UMW, adalah penting untuk menaiktaraf perkhidmatan dan infrastruktur teknologi maklumatnya bagi menyokong keperluan perniagaan. Kami yakin kolaborasi dengan TM One ini akan mengoptimumkan pusat data dan kecekapan dalam pengurusan data, dan meningkatkan kebolehskalaan serta menawarkan pengurusan kos yang lebih baik. Selain itu, perkongsian cloud hibrid ini menawarkan fleksibiliti, kebolehpercayaan, kepantasan dan keselamatan data yang lebih baik kepada Kumpulan UMW untuk menyokong pertumbuhan perniagaan kami.”
Imri Mokhtar berkata, “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UMW sekali lagi dalam menjayakan usaha transformasi digital mereka ke peringkat seterusnya melalui kaedah cloud hibrid oleh TM ini. Sebagai rakan kongsi perniagaan selama lebih 30 tahun, majlis hari ini membuktikan bahawa pentingnya pendigitalan perusahaan bagi perniagaan Malaysia dimana ia akan membawa kepada pertumbuhan kepada industri dan negara.
Dengan kerjasama ini, kami berharap dapat memberikan sokongan dan sumbangan kepada usaha pendigitalan dan automasi UMW melalui kaedah inovatif kami, seperti TM One’s Smart Manufacturing yang didatangi dengan pakej data yang besar yang akan membawa tranformasi digital UMW ke tahap yang lebih tinggi, serta menawarkan pemasangan gentian dan teknologi 5G di UMW High Value Manufacturing Park antara bukti masa hadapan organisasi terkemuka ini berada di dalam ekonomi digital.
–BERNAMA




