JAKARTA, 5 Sept (Bernama) — Indonesia AirAsia dan Capital A Bhd meletakkan tanggungjawab sosial, pembangunan kemahiran dan sokongan terhadap masyarakat tempatan di Danau Toba, Utara Sumatra, sebagai agenda utama mereka.
Kedua-dua syarikat itu telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga rakan kongsi tempatan untuk memperkasakan masyarakat, sehari selepas melancarkan penerbangan sulungnya dari Jakarta ke Silangit pada Jumaat minggu lepas.
Rakan-rakan kongsi tersebut ialah Danau Toba Tourism Authority, Del Institute of Technology dan syarikat usahawan sosial, Tobatenun, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Perkongsian itu bertujuan untuk menyediakan pelbagai latihan tempatan dan inisiatif perkongsian pengetahuan dalam industri penerbangan, teknologi dan menambah kemahiran inovasi digital.
Pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes memeterai MoU dengan canselor Del Institute of Technology Dr Arnaldo Marulitua Sinaga di Danau Toba.
Pengerusi Del Foundation Luhut Binsar Pandjaitan, yang juga menteri penyelaras bagi hal ehwal maritim dan pelaburan Indonesa menyaksikan acara permeteraian perjanjian tersebut.
Indonesia AirAsia dan Capital A akan bekerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan masyarakat selain menawarkan kepada pelajar cemerlang Danau Toba peluang untuk bekerja dengan AirAsia.
Sementara itu, Indonesia AirAsia, unit penerbangan Capital A di Indonesian, memeterai MoU dengan Danau Toba Authority Implementing Body untuk membantu membangunkan pelancongan dan ekonomi kreatif serta menjual barang niaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Indonesia AirAsia Veranita Yosephine Sinaga berkata syarikat penerbangan itu akan membantu pihak berkuasa membangunkan kawasan tersebut menjadi destinasi geopark gunung berapi bertaraf dunia.
Veranita juga memeterai MoU dengan Tobatenun berkaitan promosi produk syarikat itu dalam penerbangan dan di seluruh platform lain termasuk penjenamaan khas dalam paparan livery pesawat.
— BERNAMA




