KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — SNS Network Technology Bhd optimis mengenai pertumbuhan masa depannya memandangkan jualan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka pulih tahun ini, kata Pengarah Urusan, Ko Yun Hung.
Beliau berkata ini adalah seiring dengan pemulihan ekonomi selepas kebanyakan perniagaan dan organisasi mengurangkan perbelanjaan ICT mereka sejak dua tahun lepas.
“Segmen komersial menyumbang 70 peratus kepada perolehan kami sejak empat tahun lepas jadi, kami percaya kami akan dapat menikmati manfaat apabila orang ramai dan perniagaan mula berbelanja semula.
“Ini kerana mereka perlu menambah baik infrastruktur ICT sedia ada mereka, sekali gus mewujudkan permintaan kukuh terhadap perkhidmatan peranti-sebagai-perkhidmatan (DaaS) berasaskan langganan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian syarikat itu, di Galeri Penyenaraian Bursa Malaysia di sini pada Jumaat.
Beliau berkata perniagaan dan organisasi mengambil pendekatan ketat dalam perbelanjaan mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan ketidaktentuan, namun, hasil daripada pembukaan semula ekonomi, penggunaan ICT telah berkembang dengan pesat dan SNS menjangkakan penjualan tertangguh dua tahun itu direalisasikan tahun ini.
SNS Network Technology mula disenaraikan di Pasaran ACE hari ini dengan mencatatkan harga pembukaan tidak berubah daripada harga terbitan 25 sen.
Ia menyasar untuk mengumpulkan RM90.72 juta daripada tawaran awam awal itu, dengan 34.1 peratus atau RM30.9 juta akan disediakan untuk mengembangkan perkhidmatan DaaS berasaskan langganan,
Syarikat itu juga akan memperuntukkan RM33.4 juta daripada hasil itu untuk perbelanjaan modal manakala RM2.5 juta akan digunakan untuk membuka 10 kedai runcit baharu di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
“Tumpuan kami buat masa ini adalah pada jangka pendek hingga jangka sederhana dan 10 kedai runcit baharu itu dijangka diwujudkan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Pada masa ini, bahagian pasaran kami adalah 1.47 peratus dan kami berharap dapat mengembangkannya,” jelasnya.
Sehingga 30 Jun 2022 SNS merekodkan 82 langganan DaaS bernilai RM255.86 juta dan menerima 75 pertanyaan daripada badan kerajaan dan syarikat senaraian awam.
Mengenai jenama dalamannya, JOI, Ko berkata bahawa syarikat akan terus membangunkan produk untuk segmen pasaran mampu milik kerana sentiasa ada permintaan yang baik untuk peranti peringkat awal.
“Kami akan terus menjajarkan syarikat dengan strategi ini dan mengeluarkan lebih banyak produk, contohnya, papan pintar yang menggantikan projektor konvensional atau papan putih yang biasa digunakan di dalam bilik darjah,” katanya.
Beliau berkata JOI kini menyumbang dua peratus kepada perolehan syarikat, dan segmen itu akan terus berada pada tahap semasa.
Syarikat itu melancarkan JOI pada 2014 dengan memperkenalkan tablet JOI 8 untuk memenuhi permintaan produk ICT mampu milik di samping memastikan kualiti dan spesifikasi produk yang baik.
Pada 11.30 pagi, kaunter itu menjadi kaunter paling aktif, susut satu sen kepada 24 sen dengan 183.26 juta saham didagangkan.
— BERNAMA




