KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — MyEG Services Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersih kepada RM88.64 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM80.68 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan penyambungan semula operasi pusat e-perkhidmatannya secara penuh di seluruh negara.
Keputusan yang lebih baik itu juga disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan pemadanan pekerjaan dalam kalangan pekerja asing dan sumbangan daripada penjualan token blockchain Zetrix.
Hasil pula meningkat sedikit kepada RM161.79 juta daripada RM161.73 juta sebelumnya, kata pembekal perkhidmatan dan penyelesaian kerajaan elektronik dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Melangkah ke hadapan, MyEG menjangkakan untuk terus memperkenalkan perkhidmatan yang inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu di Malaysia serta di negara yang ia beroperasi bagi memacu pertumbuhan organik pada tahun kewangan 2022.
Dengan langkah kerajaan menarik balik sekatan perjalanan semasa pandemik, MyEG kini telah mula membawa teknologi ke hadapan dengan memperkenalkan platform blockchain Lapisan 1, iaitu Zetrix.
Pada masa yang sama, MYEG sedang bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk menyepadukan Zetrix dengan platform blockchain China — Xing Huo, katanya.
“Dengan kerjasama seperti itu, kumpulan akan dapat memperkenalkan perkhidmatan komersial yang boleh digunakan secara global.
“Lembaga pengarah optimistik dengan berhati-hati bahawa prospek jangka panjang untuk MyEG kekal positif kerana syarikat masih terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif di Malaysia dan juga di peringkat global,” tambahnya.
MyEG mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 0.25 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan semasa berakhir 31 Dis, 2022, yang perlu dibayar pada 25 Nov, 2022.
— BERNAMA




