KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd (IHH Healthcare) melonjak 26.6 peratus kepada RM612.10 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM483.31 juta setahun lepas, kebanyakannya disebabkan oleh keuntungan luar biasa sebanyak RM295.5 juta selepas permohonan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 129 mengenai operasinya di Turkiye.
Hasil pada suku kedua 2022 meningkat kepada RM4.37 bilion berbanding RM4.27 bilion sebelumnya.
IHH Healthcare dalam satu kenyataan berkata Malaysia mencatatkan pemulihan yang kukuh apabila pesakit kembali mendapatkan rawatan, Singapura merekodkan prestasi positif dengan intensiti hasil yang lebih tinggi manakala Turkiye dan Eropah menunjukkan prestasi operasi asas yang kukuh.
“Bagi India, hasil menurun dua peratus kepada RM953.7 juta daripada asas tinggi pada suku kedua 2021 yang menyaksikan bilangan pesakit COVID-19 dan ujian COVID-19 yang tinggi serta penjualan Hospital Continental.”
“Kemasukan pesakit meningkat 22 peratus walaupun kehilangan pesakit susulan penjualan Hospital Continental pada Disember 2021 dan intensiti hasil menurun 15 peratus.” ia berkata.
Bagi tempoh enam bulan, keuntungan bersih berjumlah RM1.10 bilion berbanding RM858.93 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala hasil meningkat kepada RM8.54 bilion berbanding RM8.22 bilion sebelumnya.
“Secara keseluruhan, suku kedua 2022 adalah suku infleksi untuk IHH Healthcare kerana perniagaan teras perkhidmatan hospital dan penjagaan kesihatannya kembali mencatatkan pertumbuhan. Walaupun dengan masalah jangka pendek seperti trend inflasi global dan kadar faedah yang meningkat, trajektori pertumbuhan jangka panjang Kumpulan ini kekal utuh,” katanya.
Mengenai prospek, ia berkata apabila sempadan dibuka semula dan dengan kelonggaran sekatan perjalanan COVID-19, kumpulan itu telah menyaksikan peningkatan permintaan untuk prosedur elektif serta peningkatan dalam jumlah pesakit tempatan dan pesakit warganegara asing ke hospitalnya, sekali gus mengurangkan kesan pendapatan yang lebih rendah daripada perkhidmatan berkaitan COVID-19 yang sebahagian besarnya telah reda.
Harga tenaga yang lebih tinggi juga telah menambah kos operasi kumpulan, katanya.
“IHH Healthcare akan mengekalkan kawalan ketat terhadap kos dan memanfaatkan sinergi daripada rangkaian antarabangsanya untuk mencapai penjimatan kos.
“Ia menjangkakan kos kewangan bersih meningkat dengan pembayaran balik sekuriti kekalnya (instrumen ekuiti) daripada baki tunai sedia ada dan pengeluaran pinjaman serta persekitaran kadar faedah yang semakin meningkat.” katanya.
— BERNAMA




