KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih Sime Darby Property Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 melonjak kepada RM105.0 juta daripada RM23.21 juta setahun lepas, didorong oleh pelancaran produknya sepanjang tempoh pandemik yang mencatatkan jualan memberangsangkan.
Hasil bagi suku di bawah kajian juga meningkat 22.6 peratus kepada RM615.61 juta daripada RM501.97 juta sebelumnya, disumbangkan oleh kemajuan tapak pembangunan yang kukuh di perbandaran utamanya mulai bulan Jun serta jualan produk dengan margin yang lebih tinggi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata kumpulan itu kekal komited untuk mencapai sasaran pelancaran produknya sebanyak RM2.8 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) untuk tahun 2022.
Ia berkata produk bernilai RM1.5 bilion telah dilancarkan pada separuh pertama 2022 memperoleh purata kadar pengambilan 94 peratus untuk hartanah kediaman tidak termasuk produk berkanun setakat 7 Ogos.
“Kumpulan itu terus merekodkan hasil positif untuk menaikkan nilai daripada pengurusan simpanan tanah yang aktif dan pelaksanaan pengewangan manakala jumlah stok siap juga telah dikurangkan kepada RM319.9 juta pada 30 Jun, 2022,” katanya.
Keuntungan bersih kumpulan itu untuk separuh pertama 2022 meningkat kepada RM156.56 juta daripada RM89.31 juta sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM1.096 bilion daripada RM1.091 bilion setahun lalu.
Mengenai prestasi separuh pertama 2022, kumpulan itu berkata segmen pembangunan hartanah menyumbang 91.5 peratus daripada jumlah hasil kumpulan tersebut.
“Segmen pelaburan dan pengurusan aset turut mencatatkan prestasi yang baik, dirangsang oleh hasil lebih tinggi daripada KL East Mall yang mencerminkan kadar penghunian yang lebih baik sebanyak 80 peratus berbanding 73 peratus tahun lepas serta peningkatan jumlah pengunjung.
“Ia disokong lagi oleh bahagian keputusan kewangan yang lebih baik daripada Melawati Mall yang turut mencatatkan jumlah lebih tinggi dalam tempoh yang dikaji,” katanya.
Penyambungan semula aktiviti perniagaan pada suku keempat 2021 menyumbang kepada pendapatan RM41.2 juta segmen riadah.
“Sime Darby Property berada di landasan betul untuk melepasi sasaran jualan 2022 berdasarkan pencapaian jualan RM1.9 bilion kumpulan pada separuh pertama 2022 yang meliput kira-kira 73 peratus daripada sasaran setahun penuh RM2.6 bilion,” katanya.
Kumpulan itu juga berkata jualan belum dibilnya juga meningkat kepada RM3.4 bilion pada Jun 2022 berbanding RM1.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, ia menjamin keterlihatan pendapatan untuk dua tahun akan datang.
Sime Darby Property telah mengisytiharkan dividen interim pertamanya sebanyak 1.0 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berjumlah RM68 juta disebabkan keputusan separuh pertama 2022 yang kukuh.
Mengenai prospek, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Datuk Azmir Merican berkata kumpulan itu akan terus memperkenalkan lebih banyak produk seiring dengan kehendak pasaran, memandangkan permintaan yang menggalakkan daripada pelancarannya baru-baru ini.
“Kekukuhan kewangan kumpulan menerusi oleh tunai dan setara tunainya berjumlah RM820 juta dan tahap kadar hutang bersih sebanyak 30.3 peratus pada separuh pertama 2022, memastikan ia berada pada kedudukan yang baik untuk membiayai inisiatif pertumbuhan masa depan,” katanya.
Beliau juga memberitahu prestasi separuh pertama telah mengatasi jangkaan setakat ini dan kumpulan itu optimistik melepasi sasaran jualan tahun ini sebanyak RM2.6 bilion, disokong oleh pelancaran baharu melibatkan GDV bernilai RM2.8 bilion.
“Untuk baki tahun ini, banyak perkembangan baharu yang menarik termasuk pelancaran Stesen Janakuasa Battersea di United Kingdom pada bulan Oktober dan Dana Pembangunan Perindustrian yang kini sedang berjalan melalui usaha sama dengan LOGOS Property, ia merupakan sumber pendapatan berulang bagi kumpulan itu selaras dengan strategi jangka panjangnya,” tambahnya.
— BERNAMA




