KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia meningkat sebanyak 1.34 peratus dan mengakhiri sesi dagangan pagi dengan positif, disokong oleh belian berterusan dalam saham telekomunikasi, manakala pergerakan pasaran keseluruhan pula dipacu oleh kegiatan memburu saham berharga murah.
Pada jam 12.30 tengah hari, FBM KLCI menokok 19.29 mata kepada 1,486.54 daripada 1,467.26 pada penutupan urus niaga Rabu.
Indeks penanda aras dibuka 3.11 mata lebih tinggi untuk mencapai paras 1,470.37 dan seterusnya bergerak antara 1,470.37 dan 1,488.54 di sepanjang sesi awal.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 491 berbalas 250, manakala 328 kaunter tidak berubah, 1,263 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.32 bilion unit bernilai RM841.22 juta.
Bagaimanapun, seorang peniaga berkata walaupun pasaran tempatan telah dibantu oleh aktiviti memburu saham berharga murah, sentimen masih lagi tidak menentu dengan para pelabur menantikan ulasan pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Jerome Powell pada acara Jackson Hole esok.
Sementara itu, saham untung dalam indeks komposit diterajui oleh kumpulan Axiata yang menokok 13 sen kepada RM3.04, diikuti Telekom mengukuh 31 sen kepada RM5.96, manakala Tenaga Nasional meningkat 20 sen kepada RM8.61 dan IHH Healthcare memperoleh 12 sen kepada RM6.34.
Bagi saham wajaran tinggi yang lain, Maybank naik tiga sen kepada RM8.84, Public Bank tidak berubah pada RM4.62, Petronas Chemicals meningkat satu sen menjadi RM8.51 dan CIMB meraih tiga sen kepada RM5.39.
Bagi saham aktif, Serba Dinamik susut satu sen kepada 3.5 sen, TWL Holdings tidak berubah pada lima sen dan warannya turun setengah sen kepada 1.5 sen, G3 Global tidak berubah pada tiga sen manakala Berjaya Corporation lebih rendah sebanyak setengah sen kepada 24 sen.
Di papan indeks, FBM ACE meningkat 41.66 mata menjadi 4,916.63, FBM 70 melonjak 100.01 mata kepada 12,701.01, Indeks FBM Emas mengukuh 119.75 mata kepada 10,570.10, Indeks FBMT 100 menambah 121.45 mata kepada 10,311.78 dan FBM Emas Syariah mengembang 159.51 mata kepada 10,663.33.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 25.10 mata kepada 732.29, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 87.59 mata kepada 16,638.54, Indeks Perladangan mengembang 87.83 mata kepada 6,948.66 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian memperoleh 1.01 mata kepada 180.90.
— BERNAMA

