KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih LBS Bina Group Bhd meningkat kepada RM35.13 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM16.28 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Hasil melonjak kepada RM410.37 juta daripada RM265.92 juta sebelumnya, disumbang oleh segmen pembangunan hartanah yang lebih baik, kata pemaju itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun, 2022, keuntungan bersih meningkat kepada RM65.29 juta daripada RM41.43 juta manakala hasil melonjak kepada RM819.39 juta berbanding RM668.47 juta sebelumnya.
Segmen pembangunan hartanah yang positif pada separuh pertama sebahagian besarnya dipacu oleh permintaan kukuh yang berterusan untuk projek pembangunan yang sedang dijalankan iaitu LBS Alam Perdana di Bukit Jalil, KITA @ Cybersouth di Dengkil dan Alam Awana Industrial Park di Shah Alam.
“Projek pembangunan di Lembah Klang kekal sebagai penyumbang hasil terbesar, menyumbang 84 peratus daripada hasil kumpulan untuk tempoh kewangan semasa,” katanya.
Sementara itu berdasarkan pecahan, pendapatan daripada segmen pembinaan dan perdagangan berjumlah RM304 juta, pendapatan segmen pengurusan dan pelaburan (RM33 juta), segmen litar lumba permotoran (RM6.7 juta), hasil operasi perhotelan (RM4 juta), dan lain-lain (RM16 juta) dalam tempoh enam bulan pertama.
Mengenai prospek, LBS Bina berkata kumpulan itu merekodkan jualan hartanah sebanyak RM1.31 bilion pada 21 Ogos, 2022, dengan tempahan yang sedang berlangsung berjumlah RM313 juta.
Prestasi cemerlang ini disumbangkan oleh kejayaan projek LBS Alam Perdana Township, yang menyumbang 29 peratus (RM383 juta), diikuti projek LBS Kita @ Cybersouth Township yang menyumbang 20 peratus (RM259 juta).
Penyumbang ketiga terbesar adalah daripada projek rumah mampu miliknya, Idaman BSP (Bandar Saujana Putra), pada 17 peratus (RM218 juta), katanya.
“Kami percaya dengan pengecualian duti setem di bawah inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia akan terus memberi motivasi kepada pembeli rumah kali pertama,” tambahnya.
— BERNAMA




