KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) — Keuntungan bersih SP Setia naik kepada RM80.09 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 berbanding RM74.81 juta setahun sebelumnya.
Kumpulan itu, bagaimanapun, mencatatkan hasil yang lebih rendah sebanyak RM1.02 bilion daripada RM1.08 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan kurang sumbangan daripada jualan tanah dan inventori yang telah diselesaikan.
“Bagi suku dalam tinjauan, kumpulan melancarkan hartanah bertanah yang terdiri daripada teres dua tingkat, unit berkembar dan banglo dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM300.7 juta.
“Kadar penghunian dalam fasa baharu Setia Eco Templer bergerak melebihi 90 peratus manakala kadar penghunian di perbandaran Setia Eco Glades juga menggalakkan. Kumpulan itu juga menjadualkan semula pelancaran terpilih yang dirancang,” kata satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu menjangkakan jualan yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2022 dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualannya sebanyak RM4.0 bilion.
“Disokong oleh jualan yang belum dibilkan berjumlah RM8.71 bilion pada 30 Jun 2022, ini akan memberikan pendapatan dalam jangka pendek hingga pertengahan.
“Walaupun menghadapi cabaran semasa yang mengganggu ekonomi dunia, kumpulan akan terus memantau keadaan untuk mencapai prestasi keseluruhannya,” katanya.
Kumpulan itu kini terikat dengan 47 projek yang sedang dijalankan dan baki simpanan tanah seluas 7,042 ekar. GDV kumpulan berjumlah RM120.88 bilion pada 30 Jun 2022.
Sementara itu, satu kenyataan syarikat berkata ia telah memperoleh RM1.67 bilion jumlah jualan bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022, dengan projek tempatan menyumbang RM1.38 bilion, atau 83 peratus daripada jumlah jualan, manakala baki RM294.0 juta daripada jualan antarabangsa.
Keuntungan bersih berjumlah RM147.59 juta dengan hasil RM1.89 bilion untuk separuh tahun kewangan pertama berakhir 31 Dis 2022, berbanding RM150.04 juta dan RM2.14 bilion, masing-masing setahun yang lepas.
Syarikat itu berkata ia menjual RM272.0 juta inventori yang telah siap, dan memperoleh tempahan bernilai RM559.0 juta yang akan menumpukan kepada penukaran kepada jualan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Datuk Choong Kai Wai.
— BERNAMA




