KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) — Untung bersih Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) merosot kepada RM558.27 juta pada suku ketiga berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM783.94 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembuatan dan kerugian dalam segmen pelaburan pemegangan.
Hasil bagaimanapun, meningkat kepada RM6.97 bilion daripada RM5.17 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
KLK berkata keuntungan daripada segmen pembuatan turun 11.9 peratus kepada RM208.9 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 daripada RM237.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2021 walaupun mencatatkan peningkatan 33.4 peratus dalam hasil kepada RM5.864 bilion daripada RM4.4 bilion dalam tempoh yang sama.
“Kerugian dalam segmen pemegangan pelaburan lebih tinggi kepada RM54.4 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 daripada RM24.5 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2021 terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan faedah yang lebih tinggi akibat daripada peningkatan dalam pinjaman,” katanya.
Sementara itu, ia berkata bahagian perladangan mencatatkan keuntungan lebih tinggi yang menyaksikan peningkatan ketara dalam keuntungan kepada RM594.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 daripada RM402.9 juta setahun lalu dipacu oleh harga jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isi rong sawit (PK) yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, keuntungan daripada segmen ini sebahagiannya diimbangi oleh kos pengeluaran MSM yang lebih tinggi dan kerugian nilai saksama sebanyak RM56.4 juta berdasarkan penilaian buah tandan segar yang belum dituai,” katanya.
Selain itu, ia berkata keuntungan bahagian pembangunan hartanah meningkat kepada RM17.5 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 berbanding suku tahun sebelumnya sebanyak RM15.4 juta berdasarkan hasil yang lebih tinggi pada RM53.5 juta.
KLK berkata persekitaran operasi bagi sektor perladangan pada suku berikutnya akan mencabar dengan gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi ke atas baja, agrokimia dan harga bahan api.
Ia berkata keuntungan daripada perladangan dijangka bertambah baik pada tahun kewangan 2022 yang dipacu oleh harga MSM dan PK yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Mengenai segmen pembuatan, KLK berkata, ketidaktentuan harga bahan mentah, kos tenaga yang tinggi dan isu logistik yang berterusan akan memberi kesan kepada baki tahun kewangan semasa.
“Walau bagaimanapun, kumpulan menjangkakan prestasi segmen itu memuaskan disokong oleh kemampuannya untuk menyediakan bahan-bahan yang berkualiti tinggi dan dihasilkan secara konsisten dalam persekitaran bekalan yang terhad,” katanya.
–BERNAMA




