KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) — Berjaya Food Bhd (BFood) mencatatkan lonjakan dalam keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2022 kepada RM122.74 juta berbanding RM47.11 juta pada tahun kewangan sebelumnya, dipacu oleh pertumbuhan jualan terutamanya daripada kafe Starbucks.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BFood berkata pendapatannya untuk tahun itu melonjak kepada RM997.74 juta berbanding RM717.34 juta sebelumnya.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun, 2022, BFood mencatatkan untung bersih RM40.66 juta berbanding RM14.27 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 61 peratus kepada RM291.27 juta daripada RM180.72 juta sebelumnya.
“Pendapatan dan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM188.98 juta disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan jualan kedai yang sama yang lebih tinggi, terutamanya daripada kafe Starbucks sedia ada serta sumbangan daripada kafe Starbucks baharu yang dibuka pada tahun kewangan, dan pemulihan dalam prestasi perniagaan Kenny Rogers Roasters,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Sehubungan itu, BFood mengisytiharkan dividen interim satu peringkat keempat sebanyak 2.0 sen sesaham, yang perlu dibayar pada 22 Sept, 2022, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tahun kewangan 2022 kepada 5.50 sen sesaham.
Pada masa hadapan, BFood menjangkakan Starbucks mampu mengekalkan momentum pertumbuhan hasilnya dan keputusan operasi kumpulan dijangka akan kekal memuaskan pada tahun kewangan 2023.
“Sudah tentu ini merupakan tahun yang berjaya dan penuh kemajuan bagi kumpulan walaupun berdepan masalah operasi. Kami akan terus bekerja keras dalam mengekalkan momentum pertumbuhan ketika kami memasuki tahun kewangan baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BFood Datuk Sydney Quays.
— BERNAMA




