KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Protasco Bhd, HCM Engineering Sdn Bhd, memperoleh kontrak menaik taraf jalan di Kedah daripada KI Engineering Sdn Bhd bernilai RM299.2 juta.
Protasco berkata, kontrak ini adalah susulan daripada satu memorandum perjanjian yang dimeterai antara HCM Engineering dan KI Engineering bagi menetapkan hak, tugas dan obligasi masing-masing untuk melaksanakan kontrak tersebut.
“Di bawah perjanjian itu, HCM Engineering akan berkongsi 70 peratus keuntungan daripada projek tersebut dan akan bertindak sebagai pelaksana untuk melaksanakan pembinaan dan pembiayaan projek sehingga siap pada 27 Jan, 2026,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut syarikat itu, projek tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan pada masa depan.
— BERNAMA




